"Aku Thakur Rajni Singh, takkan sesekali biarkan anak perempuan aku berkahwin dengan pengembala kambing seperti kamu! Mana mungkin enggang terbang seiring pipit, akan aku tembak si pipit hina kalau itu berlaku!" kata Thakur Rajni Singh, matanya terjegil merah menyala, dan tangannya menggigil marah melihat anak perempuannya bersama si pengembala kambing miskin bernama Ravan.
Ravan memegang erat tangan kekasihnya, lalu berkata “Thakur Rajni Singh mungkin berkuasa di kampung ini, tapi dalam cinta kami, kuasanya sifar. Hanya Tuhan yang boleh memisahkan kami, tapi Dia telah memutuskan untuk menyatukan kami. Satu satunya perkara yang boleh menamatkan ikatan hubungan kasih sayang ini adalah maut, Thakur Rajni Singh!"
Balasan biadap Ravan membuatkan tangan Thakur Rajni Singh mengeletar lebih kuat seperti orang hisap dadah. Thakur Rajni Singh bergegas ke arah almari di tepi tangga yang besar dan terletak di tengah tengah rumahnya yang luas. Beliau mengambil senapang patah yang digunakannya untuk memburu rusa di hutan simpan. Thakur Rajni Singh tanpa memberi signal kenyit mata atau siul sikit sikit terus saja menghalakan muncung senapang patah itu ke arah Ravan dan menarik picunya sambil berkata kata “nah, maut yang kau mahu!"
Beng!
Sedas tembakan dilepaskan. Dalam gerak perlahan, kita dapat lihat mulut Ravan terbuka sedikit demi sedikit, sebelum tiba tiba kekasihnya, iaitu Meena, anak kepada Thakur Rajni Singh melompat ke depan Ravan dan menyambut peluru senapang patah itu dengan perutnya yang sememangnya dari tadi terdedah menampakkan pusat.
Thakur Ajit Singh menjerit “Meena!" dan meluru ke arah anaknya. Ravan cuba memeluk Meena tapi Thakur Rajni Singh menerajangnya dengan kuat sehingga Ravan tercampak ke dinding belakang kira kira 8 meter jauhnya. Dalam keadaan sayu Meena yang sedang nyawa nyawa ikan itu, Ravan tiba tiba menyanyikan sebuah lagu sedih yang spontan bertajuk “Cinta kita sekuat konkrit"
"Bila matamu bertaut pada matamu
segalanya terasa sejuk
rimba yang terbakar terpadam
jerebu yang menyesak menghilang.
tapi sekarang mata mu sudah terkatup rapat
kosmos mula bergoncang
dunia berhenti berputar
dan bulan pun merajuk suram
bangun lah
buktikan lah
cinta kita sekuat konkrit
dirempuh maut pun teguh
dirempuh maut pun utuh"
Tiba tiba Meena membuka mata. Thakur Rajni Singh menggoncang badan anaknya dengan gembira. “Meena!" kata kedua dua Thakur Rajni Singh dan Ravan. Hujan tiba tiba turun dengan lebat di luar rumah. Ravan terkejut apabila Meena mampu selamat daripada tembakan senapang patah itu, sedangkan seekor gajah pun akan meninggal dunia serta merta, inikan pula seorang gadis bertubuh ramping sepertinya. Tiba tiba Meena bangun berdiri, dan sekaligus menjawab persoalan Ravan.
Perut Meena terkopek, terlihat wayar wayar yang berselirat. Ada minyak petrol yang meleleh juga di pusatnya. Meena tersenyum dan meminta maaf. Kata Meena, ini adalah kali yang ke lapan belas dia membawa teman lelakinya ke rumah, ditembak oleh ayahnya, dan mengorbankan dirinya sendiri. Kali pertama dulu, dia terselamat dan menjadi seorang cyborg. Ravan ternganga.
"Hey, chill la macha" kata Meena. Terangnya, setiap kali ini berlaku, teman lelakinya akan menyanyi sebuah lagu spontan. Dan itu memberi idea untuk Meena dan ayahnya Thakur Rajni Singh menerbitkan sebuah album berjudul “Perutku Berlubang Lagi". "Tahniah, awak dah jadi salah seorang komposer untuk lagu kami. Hal royalti kita bincangkan nanti" kata Meena, sambil menghulurkan tangan untuk bersalam.
Ravan yang terkilan segera mengeluarkan harmonika dari dalam poket seluar dan memainkannya. Lalu datanglah sekumpulan kambing biri biri kira kira 300 ekor banyaknya ke dalam rumah, melanggar dan memijak Thakur Rajni Singh dan Meena.
Kes ini tidak pernah diceritakan dalam mana mana akhbar tempatan, cuma diceritakan dari mulut ke mulut oleh penjual sireh pinang jalanan. Ravan dikatakan telah move on dan kini bertunang dengan anak penjual susu.